Rangkaian Telekomunikasi Kecemasan: Elakkan Tragedi & Bencana

. . No comments:
Di dalam situasi di mana bencana telah menimpa di sesuatu kawasan, tindakan pertama yang perlu diambil ialah untuk menyebarkan amaran kecemasan, ataupun SOS (ataupun Save Our Soul), agar bantuan daripada pihak-pihak terlibat dapat dihulurkan dengan kadar segera. Bencana boleh menimpa di dalam pelbagai bentuk: samada disebabkan oleh sumber buatan manusia, sebagai contoh tindakan pengganas merobohkan bangunan World Trade Centre (insiden 9/11) di Amerika Syarikat, insiden pengeboman kereta api bawah tanah di London pada tahun 2005 ataupun letupan loji berkuasa nuklear di Chernobyl.
Malapetaka juga turut disebabkan oleh fenomena semulajadi seperti rebut taufan, gempa bumi, letupan gunung berapi ataupun tsunami yang pernah melanda Malaysia di Kuala Muda, Kedah dan Pulau Pinang pada suatu ketika dulu, iaitu pada tahun 2004.
Pada Mac, 2011, Jepun telah dikejutkan oleh malapetaka yang terbesar di dalam sejarah mereka, di mana gempa bumi dan tsunami telah menimpa di bahagian pantai timur Jepun. Malapetaka ini dikatakan yang terbesar pernah di alami oleh mereka, selepas perisitiwa pengeboman di Hiroshima ketika Perang Dunia Kedua. Kecelakaan ini menyebabkan kehilangan beribu-ribu nyawa, mendedahkan negara kepada ancaman luar dan juga mengalami kerugian ekonomi pada skala yang begitu besar.
Tujuan rencana ini ialah untuk berkongsi dan membincangkan tentang langkah-langkah yang telah diambil oleh beberapa pihak di seluruh pelusuk dunia di dalam memastikan kebolehcapaian rangkaian telekomunikasi di dalam keadaan kecemasan.
Sewaktu dilanda krisis dan malapetaka, radio amatur merupakan satu kaedah yang sering digunakan untuk rangkaian kecemasan apabila talian tetap (seperti gentian optik ataupun talian telefon) dan rangkaian komunikasi selular menghadapi kegagalan.
Radio amatur merupakan perkhidmatan penyiaran maklumat, samada suara ataupun teks melalui spektrum frekuensi radio yang telah ditetapkan. Tidak seperti rangkaian talian tetap dan selular, radio amatur tidak bergantung kepada kemudahan infrastruktur untuk memancarkan sesuatu isyarat daripada satu pengguna (ataupun lebih dikenali sebagai operator) kepada operator yang lain, walaupun jarak pemisahan di antara mereka beribu-ribu kilometer! Ini ialah kerana radio amatur bergantung kepada keupayaan antenna operator dan jenis kuasa yang digunakan pada penguat (amplifier) untuk pemancaran isyarat. Taufan Katrina yang telah melanda AS pada tahun 2005 telah mencatatkan penggunaan radio amatur yang paling terbesar di dalam sejarah AS, di mana dianggarkan sekitar seribu operator di seluruh AS menghulurkan bantuan dengan menumpukan hampir kesemua saluran radio ke kawasan yang bakal ditimpa bencana, iaitu New Orleans. Kaedah ini dapat memudahkan pasukan-pasukan bantuan menghulurkan bantuan sejurus selepas bencana tersebut menimpa. Walaubagaimanapun, tidak semua pengguna mempunyai kemudahan capaian kepada perkhidmatan radio amatur, oleh kerana penggunaan spectrum radio amatur memerlukan lesen dan dikawal selia oleh pihak berkuasa di kebanyakkan negara, termasuk Malaysia. Selain daripada itu, pengguna memerlukan latihan dan kemahiran untuk mengendalikan peralatan radio amatur tersebut.
Dengan kecanggihan peranti bergerak pada masa kini, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memanfaatkan pengguna di dalam memastikan kesediaan sebelum berlakunya bencana. Sebagai contoh, terdapat banyak sistem amaran kecemasan yang mampu memberikan amaran awal kepada pengguna peranti mudah alih sebelum kejadian bencana berlaku. Agensi piawaian telekomunikasi antarabangsa, dikenali sebagai Third- Generation Partnerships Project (3GPP) telah memperkenalkan perkhidmatan Earthquake and Tsunami Warning Service (ETWS), ataupun Perkhidmatan Amaran Tsunami Gempa Bumi dengan menggunakan rangkaian teknologi selular generasi ketiga (3G), seperti UMTS dan HSPA. ETWS juga turut diambil kira untuk perlaksanaan di dalam rangkaian teknologi masa hadapan, iaitu LTE-Advanced, yang merupakan salah satu calon kepada rangkaian teknologi generasi keempat (4G). 
Di Malaysia, sistem pengesanan bencana pertama, iaitu sistem pengawasan tsunami, telah diperkenalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, di kelolai oleh Kementerian Sains dan Teknologi. Sistem pengawasan tersebut turut dikenali sebagai Malaysia National Tsunami Early Warning System (MNTWES). Di dalam sistem pengawasan MNTWES, data seismik daripada tolok (gauge) yang telah dipasang di 39 lokasi berbeza di sekeliling kawasan lautan negara akan di hantar ke ibu pejabat utama MNTWES melalui saluran komunikasi satelit. Sebelum bencana tsunami melanda negara, Jabatan Meteorologi Malaysia bertanggungjawab untuk memantau dan menyampaikan maklumat kritikal ini kepada agensi kerajaan yang bertanggungajwab dan juga media massa, sebagai contoh akhbar tempatan, siaran televisyen secara langsung ataupun melalui portal laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia.
Manakala syarikat telekomunikasi terkemuka daripada Amerika Syarikat (AS), iaitu American Telephone and Telegraph (AT&T) telah memperkenalkan penggunaan nod-nod bergerak (mobile nodes), atau lebih dikenali sebagai Network Disaster Recovery (NDR). NDR tersebut merupakan versi padat rangkaian teras (core network) untuk mengisi ’kekosongan’ pada infrastruktur rangkaian yang telah mengalami kerosakkan. Setelah sesuatu kawasan telah dilanda bencana, AT&T akan mengenalpasti kadar kerosakkan rangkaian di kawasan tersebut sebelum menempatkan NDR tersebut di kawasan yang dilanda bencana. NDR tersebut akan dihantar menggunakan trailer ke kawasan yang dilanda bencana. NDR mampu menghubungkan pengguna yang berada di dalam kawasan liputan bencana kepada dunia luar melalui saluran komunikasi satelit atau talian gentian optik sedia ada. Ini melibatkan sambungan pautan komunikasi sementara daripada NDR kepada infrastruktur rangkaian yang sedia ada. Mengikut sumber rujukan daripada AT&T, NDR atau nod bergerakini telah ditempatkan di beberapa peristiwa bencana yang telah melanda Amerika Syarikat,seperti serangan pengganas ke atas World Trade Center (WTC) pada 9 September 2001 dan Taufan Katrina pada Ogos, 2005.
Daripada rekod-rekod terdahulu, nod-nod bergerak telah terbukti menawarkan saluran komunikasi yang berkesan selepas berlakunya kerosakkan kepada rangkaian telekomunikasi. Walau bagaimanapun, proses pemulihan rangkaian mengambil masa dan melalui proses yang agak lama. Sebagai tambahan, ianya memerlukan tenaga buruh dan kemahiran teknikal yang begitu tinggi untuk memulih rangkaian di dalam masa yang singkat. Selain daripada itu, kos untuk membina nod bergerak tersebut melibatkan modal yang sangat tinggi kepada pengendali rangkaian (iaitu AT&T di dalam perkara ini).
Satu lagi penyelesaian alternatif ialah untuk memaksimumkan kuasa Internet dengan memperkenalkan sistem yang dikenali sebagai Shelter Telecommunication System (STS). Di dalam STS, pengguna hanya dibenarkan berkomunikasi dengan menghantar mesej teks di luar kawasan bencana. Seperti nod bergerak, STS juga memerlukan sumber tenaga manusia untuk mengendalikan rangkaian tersebut. Ini kerana terdapat beberapa pengendali akan ditugaskan untuk menyambung pengguna kepada dunia luar. Selain daripada itu, STS memerlukan penyelarasan di kalangan pengguna untuk mengelakkan kesesakan dalam trafik rangkaian.
Negara Jepun pada awal tahun lalu telah dikejutkan oleh serangan tsunami dan gempa bumi pada 11hb March, 2011. Dengan magnitud setinggi 7.4 skala Ritcher yang direkodkan pada hari tersebut, kemusnahan dalam skala yang begitu besar telah dialami oleh mereka, di mana kerugian di antara RM 60-90 billion telah dianggarkan disebabkan oleh malapetaka ini. Syarikat telekomunikasi Jepun, docomo, telah mengambil langkah aktif dengan memulihkan rangkaian telekomunikasi sehari selepas bencana melanda negara tersebut untuk membantu rakyat-rakyat Jepun meneruskan aktiviti kehidupan mereka seperti sediakala. Sehari selepas ditimpa tragedi tersebut, docomo menganggarkan sebanyak 4,900 menara pemancar di bahagian Timur Jepun telah musnah ataupun mengalami gangguan pemancaran berpunca daripada fenomena gempa bumi dan tsunami tersebut.
Antara langkah-langkah yang diambil ialah dengan membuat pemetaan semula rangkaian selular sedia ada, di mana menara pemancar pada kedudukan yang tertinggi di sesuatu kawasan akan mengambil alih tugas tapak pemancar yang dilanda kemusnahan. Antena-antena sedia ada di menara pemancar tertinggi ini akan digantikan dengan antena berkeupayaan tinggi agar dapat memastikan pengguna-pengguna mampu membuat panggilan seperti biasa. Penyelesaian kedua ialah dengan memancarkan isyarat pemancaran melalui saluran satelit, khususnya untuk kawasan yang terletak jauh daripada bandar besar. Pada 30hb Apri, iaitu 48 hari selepas bencana tersebut menimpa daerah tersebut, pihak docomo telah berjaya memulihkan 100% liputan rangkaian kepada keadaan asal, iaitu sebelum bencana berlaku. Pihak docomo turut mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi bencana pada masa akan datang, di mana tiga langkah utama telah dirangka.
Pertama sekali, pihak docomo akan memberikan perhatian utama kepada kawasan yang mempunyai kadar populasi yang tinggi. Untuk memenuhii strategi ini, pihak docomo akan mengenalpasti beberapa lokasi bangunan ataupun lokasi yang tinggi untuk meluaskan lagi kawasan liputan. Disamping itu, pengunaan sumber tenaga alternatif turut dikenalpasti oleh kerana sumber bekalan kuasa elektrik melalui talian mempunyai kebarangkalian kegagalan yang tinggi ketika dilanda bencana. Langkah kedua dengan memudahkan tindakan pemulihan di kawasan dilanda bencana. Sebagai contoh dengan meningkatkan penggunaan telefon bergerak satelit gelombang mikro.
Langkah terkahir sekali ialah dengan memperbaiki mutu perkhidmatan kepada pelanggan di dalam kawasan yang dilanda bencana. Sebagai contoh, ketika saluran suis berasaskan litar (circuit switched) menghadapi kegagalan, saluran suara akan ditukarkan ke dalam bentuk mesej dan disalurkan melalui saluran suis berasaskan paket (packet switched). Selain daripada itu, perkhidmataan berasaskan SMS akan diperkenalkan selain memanfaatkan pengggunaan ICT melalui laman sawang sosial seperti Facebook ataupun Twitter dan memperkenalkan infrastruktur simpanan untuk pemancaran
Di sini, dapat disimpulkan bahawa perancangan rapi dan kesedaran mengenai kepentingan rangkaian kecemasan dapat membantu pengguna di dalam persediaan dan pemulihan akibat daripada bencana, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

No comments:

Post a Comment