Wednesday, May 30, 2012

optimus UI

optimus UI
DALAM perlumbaan membangunkan produk telekomunikasi moden hari ini, syarikat-syarikat teknologi cuba mencari pelbagai kelainan dalam usaha menambat hati pengguna. Mengambil contoh pendekatan yang diambil oleh LG Electronics (LG), fokus diberikan terhadap persembahan antara muka (UI) pada peranti selular pintar mereka. Untuk itu, syarikat berkenaan telah memperkenalkan ciri paparan UI terbaru dikenali sebagai Optimus UI 3.0 pada gajet telekomunikasi yang dipacu oleh sistem operasi Android Ice Cream Sandwich.

Antara kelebihan yang ditawarkan adalah seperti aplikasi Quick Memo dan fungsi membuka kunci unik sebagai menawarkan pengalaman operasi terbaik untuk pengguna moden hari ini.
Menerusi Quick Memo, ia membenarkan pengguna mencatat sebarang maklumat pada skrin telefon pintar mereka dengan hanya menggunakan jari. Di samping itu, melaluinya juga, pengguna boleh mengakses terus kepada rangkaian laman web sosial media, menghantar mesej dan e-mel secara lebih mudah dan lancar.

Menurut Pengarah Urusan LG Electronics (M) Sdn. Bhd., HK Kwon, langkah memperkenalkan UI terbaru itu adalah sebagai membezakan keunikan produk LG dengan telefon pintar keluaran syarikat lain. "Ini kerana keselesaan pada paparan UI memberi kesan cukup besar dalam pengoperasian dan kelancaran sesebuah produk telefon bimbit pintar hari ini,'' jelasnya. Optimus UI 3.0 telah pun tersedia pada produk telefon pintar model LG Optimus LTE II yang dilancarkan di Korea minggu lalu selain bakal dilengkapi pada model LG Optimus 4X HD bermula Jun depan.
»»  read more

Wednesday, May 9, 2012

keselamatan android terancam

Kadang-kala peralatan canggih boleh diubah menjadi perumah kepada penjenayah keselamatan maya. Tetapi bagaimana pengguna dapat mengelakkan ‘jangkitan’ dan ‘perebakan’ yang berlaku dalam telefon pintar atau komputer tablet?Biasanya apabila anda berfikir mengenai virus, spyware atau apa-apa ancaman keselamatan siber, tentu saja anda terfikirkan mengenai komputer peribadi.

Kerana majoriti serangan siber biasanya berlaku dalam komputer peribadi. Malware di telefon mudah alih? Atau komputer tablet? Bolehkah berlaku?Sememangnya boleh berlaku terutamanya jika peralatan mudah alih anda menggunakan sistem operasi seperti Android.Menurut Juniper Networks, contoh malware Android meningkat dengan mendadak sehingga 472 peratus dalam tempoh Julai sehingga November 2011.

Penggodam telah mengisytiharkan perang terhadap Android dan sebagai pengguna mungkin mereka terkena tempiasnya.
Bak kata Sun Tzu dalam Seni Peperangan, ‘jika anda kenal musuh anda, anda boleh menang beratus-ratus peperangan tanpa kalah’. Di sini terdapat lima musuh utama yang perlu pengguna Android ketahui dan bagaimana untuk mengalahkan mereka dalam permainan ini.

SMS Trojans
Menurut laporan Juniper yang sama, hampir separuh aplikasi seakan-akan Android yang berniat jahat yang beredar sekarang adalah SMS Trojan yang menghantar mesej teks dalam latar belakang (tanpa pengetahuan pengguna) kepada beberapa nombor telefon yang dimiliki penggodam. Akibatnya sebagai pengguna anda terbeban dengan bil bulanan yang melambung. Jalan terbaik untuk menghentikan SMS Trojan adalah dengan mengelak terkena jangkitannya. Justeru gunakan bantuan keselamatan Android yang direka khusus bagi memerangi semua serangan yang menimbulkan ancaman.
Jangan menggunakan aplikasi yang kelihatan mencurigakan atau kelihatan amat sempurna dan baik.

Carrier IQ
Penghujung tahun 2011, penyelidik mendapati rootkit pembangun perisian Carrier IQ beroperasi pada berjuta-juta peralatan mudah alih. Walaupun kelihatan tidak mencurigakan, kod berkenaan dilaporkan merekodkan lokasi termasuk kata laluan.
Malangnya semua ini berlaku tanpa pengetahuan pengguna dan tanpa pilihan melumpuhkan penggunaanya.
Bagi mengawal ancaman berkenaan dapatkan Carrier IQ Test, aplikasi percuma yang dapat mengesan dan membuang perisian yang tidak dibenarkan.

Aplikasi Preloaded
Biasanya telefon pintar atau tablet didatangkan dengan bonus seperti aplikasi, perisian yang tidak termasuk dengan Android tetapi telah ditambah oleh pengilang. Disember tahun lalu, penyelidik mendapati terdapat aplikasi preloaded yang mendedahkan keselamatan pengguna seperti yang biasa digunakan untuk mencuri data peribadi atau mencuri dengar perbualan telefon. Atau lebih teruk lagi kerana kebanyakan aplikasi ‘diadun’ bersama-sama OS dan tidak boleh dibuang.
Jika pengguna menggunakan Android 4.0 (Ice Cream Sandwich), mereka boleh menyembunyikan dan melumpuhkan aplikasi bloatware. Hanya dengan masuk ke Settings, Device, Apps, pergi ke All kemudian aplikasi yang mahu dibuang dan tekan Disable.

Kedai palsu Google Play
Awal tahun, Google telah mengubah Android Market kepada Google Play di mana ia menggabungkan beberapa perkhidmatan seperti aplikasi, muzik, e-book. Bagaimanapun penjenayah siber mula mencipta domain Google Play palsu bagi menipu pengguna memasang aplikasi berbahaya. Cara melawan ancaman berkenaan adalah dengan menjadi lebih pintar. Jangan memasang aplikasi Google Play dengan memuat turun sendiri tapi ikutlah peraturan biasa untuk mengemaskini peralatan OS. Perisian keselamatan Android boleh mengesan dan membuang segala aplikasi mencurigakan yang mungkin dipasang tanpa pengetahuan. Jadi lebih baik gunakan anti-malware pada peralatan mudah alih.

Peringatan palsu
Jika anda mendapat mesej daripada bank berbunyi ‘Akaun anda bermasalah! Kemaskini kata laluan.’Pergi ke link berkenaan membawa pengguna ke laman web yang sama dengan bank yang anda selalu lawati. Jika pengguna masuk ke akaun berkenaan, ia akan membuka laluan menjadi mangsa jenayah siber mencuri semua data peribadi pengguna.
Jangan sekali-kali masuk ke link yang terdapat di dalam e-mel atau mesej teks walaupun kelihatan memang sama.
Pastikan anda buka perayauan dan sambung kepada institusi kewangan secara terus dan pastikan URL bermula dengan https:// dan kini beberapa institusi kewangan yang mempunyai pelbagai langkah-langkah keselamatan bagi menjaga hak pengguna. Dan jika pengguna masih ragu-ragu mengenai keselamatan, hubungi institusi kewangan untuk berurusan secara terus.

»»  read more

Tuesday, May 1, 2012

nokia lumia

nokia lumia
MELENGKAPKAN siri telefon pintar bagi portfolio Lumia, syarikat teknologi Nokia baru-baru ini tampil dengan dua lagi model terkini iaitu Nokia Lumia 900 dan Nokia Lumia 610. Kedua-dua model yang masih mengaplikasi sistem operasi Windows itu dilihat bakal melengkapkan strategi Nokia dalam penawaran fungsi hiburan komprehensif kepada pengguna.

Nokia Lumia 900 tersedia bersama paparan skrin AMOLED ClearBlack 4.3 inci dengan fungsi sentuhan mudah dan menyeluruh. Kameranya pula dilengkapi dengan spefikasi eksklusif seperti lensa Carl Zeiss, apartur bersaiz besar untuk prestasi rakaman terbaik di bawah pencahayaan rendah serta rakaman imej bersudut luas dengan nisbah 16:9.

Lebih menarik, model berkenaan disempurnakan bersama ciri bateri berkapasiti tinggi sesuai untuk pengoperasian mobiliti lebih lama. Pengguna peranti tersebut turut ditawarkan aplikasi pengemudiani perjalanan dengan sokongan suara dan had laju, Nokia Drive secara percuma.

Model Lumia 900 didatangkan dengan pilihan warna putih, biru dan hitam. Sementara untuk Nokia Lumia 610 pula, peranti yang lengkap dengan fungsi pelayaran web sosial serta hiburan itu sesuai diimplementasi golongan pengguna muda.

Menerusi kelebihan itu, mereka akan dapat melakukan aktiviti seperti pelayaran Internet, mengakses laman sembang, memuat turun lagu dan memeriksa e-mel di masa sahaja mereka berada.

Nokia Lumia 610 ditawarkan dengan pilihan warna merah, hitam dan biru.
Kedua-dua model berkenaan bakal memasuki pasaran global menjelang suku kedua tahun ini.
»»  read more

Thursday, April 19, 2012

Google Malaysia perkenal tiga penambahan baru kepada Google Maps

Google Malaysia memperkenalkan tiga ciri baru pada aplikasi Google Maps. Ia dilengkapi dua panduan trafik dan transit berdasarkan masa sebenar. Merah bagi jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar. - Foto BH Online
Google Malaysia memperkenalkan tiga ciri baru pada aplikasi Google Maps. Ia dilengkapi dua panduan trafik dan transit berdasarkan masa sebenar. Merah bagi jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar


Google Malaysia hari ini memperkenalkan tiga penambahan utama kepada Google Maps, membolehkan pengguna di Malaysia merancang dengan lebih baik perjalanan mereka dan mencari maklumat tepat masa. Penambahan itu adalah dua lapisan baru, Trafik dan Transit, serta antara muka Bahasa Malaysia.
Sajith Sivanandan, Pengurus Negara Google Malaysia, berkata dengan membuka lapisan Trafik di Maps, pengguna boleh melihat dengan segera sama ada jalan raya sesak atau bergerak lancar berdasarkan kepada kod warna.
"Merah bagi jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar. 

"Lapisan baru ini memudahkan pemandu untuk merancang laluan alternatif ke destinasi mereka," katanya di sini, hari ini. Transit menyediakan maklumat mengenai perjalanan menerusi sistem pengangkutan awam Malaysia di Google Maps.

Ia juga menawarkan pilihan lebih baik bagi pengguna Malaysia yang mahu mengelakkan kesesakan trafik dan pergi ke bandar dengan menggunakan pengangkutan awam.  Sajith berkata, data bagi Trafik dan Transit diperolehi daripada pelbagai sumber, termasuk, jabatan pengangkutan kerajaan dan penyedia data swasta. Sementara itu, Google Maps kini tersedia dalam Bahasa Malaysia (BM).

Versi Bahasa Malaysia Google Maps yang lama ditunggu-tunggu itu memberikan pilihan kepada pengguna untuk mengemudi dan berantara muka dengan Google Maps, menggunakan bahasa yang mereka paling selesa. 


"Penambahan baru ini adalah sejajar dengan misi Google untuk mengatur maklumat dunia dan menjadikan ia berguna dan boleh diakses sejagat, di samping mengukuh, menambah baik dan menempatkan produk dan perkhidmatan," kata Sajith.
»»  read more