IDEOS dan android yang ideal

. . No comments:
KEMUNCULAN telefon pintar dewasa ini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Begitu pesat serta cepat berkembang malah ia disemarak dengan kadar permintaan daripada pengguna yang kian meningkat terhadap produk tersebut. Sebut sahaja android anda pasti sudah boleh membayangkan sebuah gajet yang memiliki seribu satu fungsi. Terbaru, Huawei, yang juga merupakan syarikat pengeluar telefon bimbit terkemuka di China memperkenalkan Huawei Ideos U8150, android 2.2 pertama keluarannya.

Ideos U8150 merupakan sebuah android yang telah diperbaharui aplikasinya malah Huawei turut bekerjasama dengan Google sebagai enjin carian di Internet bagi model tersebut. Antara kelebihan lain yang terdapat pada Ideos ini, ia juga boleh bertindak sebagai perayau (router) bagi sebaran Internet menggunakan aplikasi WiFi. Ini bermakna, Ideos bukan sahaja sebuah telefon tetapi dalam masa yang sama ia juga mampu bertindak sebagai sebuah router untuk kegunaan pengguna WiFi disekelilingnya.  Ia juga lebih kecil dan mudah untuk dimuatkan ke dalam poket anda apatah lagi mudah untuk dibawa kemana-mana.

Melalui sistem Android 2.2 Froyo dari sistem operasi Google terbaru, ia kini memiliki kelajuan sehingga empat kali ganda berbanding sistem yang terdahulu. Ini bermakna anda akan memiliki segala aplikasi terbaru melalui Ideos.  Manakala bagi aplikasi lain seperti kamera, Ideos menyediakan resolusi kamera sebesar 3.2 mega piksel dan penguna boleh memilih program sama yang terdapat dalam kamera kompak biasa. Namun ia agak terhad kepada beberapa aplikasi sahaja seperti pemfokusan sehingga 2.8 kali, lima pilihan untuk kawalan cahaya (White balance), dan juga pilihan saiz piksel.Namun, terdapat sedikit kekurangan kerana ia tidak memiliki lampu LED untuk tujuan flash ketika gambar diambil.

Biarpun begitu, gambar yang diambil tetap jelas dan terang biarpun di dalam keadaan yang agak kurang cahaya. Seterusnya ia memiliki pilihan aplikasi android yang biasa seperti, Facebook, Gmail, Email, YouTube, Browser, Google Search, Talk dan GPS  Selain itu, ia juga mudah dioperasi berikutan terdapat pilihan untuk memilih ikon sama ada melalui sentuhan skrin atau butang yang disediakan. Malah ikon aplikasi juga mudah untuk dibuka dan mudah untuk dipilih selain skrin sesentuh yang agak sensitif serta amat peka.  Manakala bagi pilihan abjad papan kekunci, ia mengekalkan pilihan QWERTY, iaitu sama seperti telefon android yang lain.

Secara keseluruhannya, Ideos merupakan perintis kepada telefon bimbit android pada kadar mampu milik kerana harga yang ditawarkan oleh Huawei untuk model ini adalah amat berpatutan. Di Malaysia Ideos ditawarkan pada harga RM899 di mana ia merupakan harga yang amat berpatutan bagi telefon pintar seangkatan dengannya. Kecil, comel dan memiliki harga yang berpatutan Ideos merupakan gajet yang ideal bagi peminat yang baru berjinak-jinak dengan siri telefon android.

No comments:

Post a Comment