tablet digital mobiliti

. . No comments:
DI kalangan pengguna dan penggemar produk pengkomputeran, mereka lebih senang memanggilnya sebagai tablet PC. Semudah sebutannya, begitu jugalah ringkasnya reka bentuk dan binaan gajet dalam kategori komputer yang dikenali sebagai komputer tablet mudah alih ini. Nama tablet sahaja sudah menggambarkan saiznya yang kompak, ringan, nipis dan mudah untuk di bawa ke mana-mana. Namun dari sudut spesifikasi, ia masih mengekalkan ciri cemerlang dan sofistikated sama seperti sebuah komputer.

Malah, operasinya juga semakin dipertingkatkan menerusi penambahan beberapa fungsi canggih merangkumi perkhidmatan komunikasi, hiburan dan multimedia. Pendek kata, kehadiran peranti ini bakal menawarkan khidmat lengkap dan menyeluruh sebagai sebuah komputer riba, kamera, telefon bimbit dan sebagainya.  Menerusi hanya satu peranti, pengguna akan dapat melayari Internet, memeriksa e-mel, mengambil foto, membuat panggilan suara dan video, menyimpan data dan bermacam-macam lagi.

Sebenarnya, permulaan era baru bagi produk media elektronik pintar ini telah mendapat reaksi yang pelbagai daripada para pengguna. Ada yang bertanya, adakah kemunculan komputer tablet itu mampu membawa perubahan dalam arena perkakasan elektronik berteknologi tinggi.
Ini kerana, sebagai pengguna, mereka sentiasa mencari gajet mudah alih yang dapat membantu melaksanakan segala tugasan secara mobiliti. Sesuatu yang unik mengenai komputer tablet, ia ditampilkan dengan fungsi skrin sesentuh mudah untuk capaian pantas kepada pelbagai aplikasi.

Kelebihan itu menjadikan penggunaannya lebih ringkas tanpa perlu bergantung kepada peranti tetikus atau papan kekunci seperti pada komputer riba. Keunggulannya pula disokong oleh sistem operasi yang mantap, akses Wi-Fi, capaian 3G, paparan layar luas berdefinisi tinggi (HD) serta pelbagai lagi Di seluruh dunia, cetusan evolusi yang dibawa oleh komputer tablet berjaya menarik perhatian ramai pengguna produk gajet digital. Di Malaysia sendiri, gelombang teknologi ini sememangnya telah lama dirasakan cuma menantikan saat kemunculannya di pasaran negara.

Dari sudut pengeluar pula, banyak syarikat elektronik berlumba-lumba menghasilkan komputer tablet dengan ciri terbaik. Pada masa sekarang hanya terdapat beberapa syarikat seperti Samsung, Apple dan BlackBerry telah mengumumkan gajet komputer tablet keluaran mereka.
Tidak mustahil selepas ini lebih banyak pengeluar produk media digital akan memperkenalkan komputer tablet dengan spesifikasi dan rekaan lebih unggul. Cuma apa yang penting, pengguna perlu tahu membuat keputusan memilih produk yang betul dan selesa mengikut keperluan masing-masing.

No comments:

Post a Comment