city car

. . No comments:
KENAIKAN harga minyak, meningkatnya kesedaran mengenai alam sekitar dan kemampuan sebuah keluarga untuk memiliki dua buah kereta menyebabkan permintaan kereta kecil semakin meningkat dewasa ini. Kereta cilik yang disasarkan untuk kegunaan dalam bandar ini dikenali dengan beberapa nama seperti kereta kompak atau subkompak di Amerika Syarikat atau dipanggil juga kereta famili kecil di Eropah. Bagi mereka yang hanya inginkan pengangkutan ke tempat kerja, penggunaan kereta jenis ini amat praktikal kerana ia menjimatkan (kalau elektrik, langsung tidak menggunakan minyak), mudah dikendalikan dan lebih murah.Kereta berenjin kecil ini juga agak mesra alam kerana menghasilkan pelepasan asap yang kurang atau tiada langsung asap untuk versi elektrik.

Jika dahulu kereta konsep berbentuk sporty begitu popular menghias setiap pameran kereta dunia, tetapi kini kereta kecil ini pula yang menjadi perhatian sama ada versi hibrid atau elektrik sepenuhnya. Nissan Townpod Pada Pameran Motor Paris 2010 baru-baru ini, beberapa syarikat turut mempamerkan kereta cilik mereka dan yang paling menarik ialah kereta Nissan Townpod. Menurut Nissan, kereta yang dibangunkan untuk masa depan itu sesuai untuk profesional yang melakukan kerja-kerja di luar pejabat dan memerlukan kereta dengan ruang luas. “Ia direka untuk menawarkan kenderaan tanpa pelepasan asap untuk generasi masa depan yang bekerja dari rumah dan juga usahawan inovatif yang kreatif dan mahir teknologi,” kata jurucakap Nissan.

Nissan juga menyatakan, kenderaan ini juga direka bukan hanya sebagai sebuah kereta tetapi lebih kepada sebuah van di dalam era baru yang lebih fleksibel dan bergaya. Kenderaan ini mempunyai pelbagai fungsi, sama ada untuk kereta penumpang atau kereta utiliti. Apa yang menarik ialah pintunya boleh dibuka dan tutup seperti almari, yang mana kereta ini mempunyai dua kerusi belakang yang boleh dilipat. Townpod dikatakan mempunyai banyak persamaan dengan kereta elektrik Nissan Leaf yang akan diperkenalkan di pasaran Amerika Syarikat Disember ini.

Lotus City Car
Semua orang tahu yang Lotus merupakan pengeluar kereta sports mewah tetapi kini syarikat itu ingin mempelbagaikan keluarannya dengan memperkenalkan kereta konsep Lotus City Car pada Pameran Motor Paris, baru-baru ini. Kereta hibrid seberat 1,400 kilogram (kg) itu mempunyai tiga pintu, empat tempat duduk, enjin berkuasa petrol dan juga motor elektrik untuk menggerakkan kenderaan. Kereta hibrid ini mempunyai kemampuan memecut sehingga 100 km/sejam (km/j) dalam masa sembilan saat dan apabila bergerak menggunakan motor elektrik, sudah tentu ia tidak mengeluarkan asap. Ketua jurutera Lotus, Wolf Zimmerman berkata, syarikat itu masih mencari rakan perniagaan untuk mengeluarkan kereta yang mempunyai persamaan dengan Aston Martin Cygnet ini menjelang 2014.

“Lotus Design telah mencipta kereta yang memanfaatkan kelebihan kejuruteraan Lotus dari segi reka bentuk kepada penghasilan kereta bandar yang kurang mencemarkan alam,” kata Ketua pegawai eksekutif Lotus Group, Dany Bahar dalam satu kenyataan akhbar.

Renault Twizy

Sebuah lagi kereta bandar ultra kompak yang mendapat perhatian di Paris baru-baru ini ialah Renault Twizy yang kelihatan seperti motosikal berbumbung dengan empat roda. Kereta ini mempunyai dua tempat duduk dengan tempat penumpang berada di belakang pemandu dan mempunyai 31 ruang kotak kecil di bawah kerusi belakang yang boleh dipertingkat untuk diletakkan dengan beg beli-belah atau beg suitcase. Kereta dengan berat 450 kg, termasuk berat bateri 100 kg ini mempunyai motor elektrik 15kW dan kelajuan maksimum 75 km/j .
Kereta ini boleh dibawa sehingga jarak perjalanan 97 km bagi sekali caj. Kenderaan ini akan memasuki pasaran Eropah menjelang akhir tahun depan.

No comments:

Post a Comment