canon S95 DSLR

. . No comments:
ANDA mungkin pernah melihat sesetengah orang dengan penuh gaya merakamkan foto menggunakan kamera DSLR yang canggih dan terkini. Namun, jika hanya berbekal gaya sahaja tanpa ilmu yang cukup, tidak semua foto yang dirakamkan mampu memukau mata.  Justeru, jangan memandang rendah sekiranya seseorang itu lebih selesa menggunakan kamera kompak, bahkan gambar yang dihasilkannya lebih berkualiti. Ini kerana selain bekalan kemahiran, tidak dapat dinafikan kamera kompak hari ini telah melalui revolusi yang meletakkannya hampir setaraf dengan kamera DSLR.

Kamera kompak seperti keluaran Canon terkini, PowerShot S95 menawarkan ciri yang tidak kurang canggihnya jika dibandingkan dengan kamera yang lebih berganda harganya. Dibekalkan dengan sensor 10 megapiksel dan pemproses imej terkini Canon, DIGIC 4, kamera kompak digital ini menjanjikan kualiti gambar dan video berdefinisi tinggi (HD) yang mengagumkan. Dengan hanya mempunyai ketebalan kira-kira dua sentimeter, ia amat selesa dipegang dengan satu tangan sahaja, tidak seperti kamera DSLR yang direka untuk digunakan dengan kedua-dua belah tangan.

Hasil imej pegun di bawah pencahayaan biasa agak menakjubkan untuk sebuah kamera sekecil ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan warna pada gambar yang dihasilkan lebih menarik dan kelihatan ‘hidup’, setanding DSLR. PowerShot S95 turut didatangkan dengan aplikasi efek gambar seperti fish eye dan lain-lain lagi terus pada kamera, sesuatu yang sebelum ini memerlukan pengguna melakukan suntingan gambar pada komputer.

Cuma sedikit mengecewakan apabila gambar yang diambil di bawah cahaya yang rendah agak kurang memberangsangkan. Dengan bantuan lampu flash binaan dalam gambar pada waktu malam, warna pada imej yang dihasilkan agak pudar dan kelihatan mempunyai sedikit digital noise. Batasan ISO mungkin menjadi salah satu faktornya dan ini mungkin dapat diatasi sekiranya terdapat pilihan untuk menggunakan flash tambahan.

Saiznya yang kecil menjadikanya mudah untuk dibawa dan ia boleh dimuatkan di dalam poket seluar. Sungguhpun menawarkan kawalan fotografi yang lebih berbanding kamera kompak biasa, ia masih mudah digunakan seperti kamera saingannya yang lain. Tambah lagi, sekiranya anda pernah menggunakan kamera Canon sebelum ini, anda tentunya akan dapat menguasai fungsi-fungsi padanya dalam masa yang singkat dan tanpa masalah. Kawalan seperti fokus, dedahan, zoom dan white balance membolehkan kamera ini melonjakkan kualiti gambarnya ke satu tahap yang lebih tinggi berbanding kamera kompak biasa.

Canon turut memperkenalkan teknologi penstabilan imej terkini pada kamera ini bagi mengurangkan kesan gegaran pada gambar akibat tangan  yang tidak stabil ketika gambar dirakamkan. Ia pasti satu berita baik  bagi mereka yang mempunyai masalah tangan bergetar.

No comments:

Post a Comment