tulip kashmir

. . No comments:
Hamparan tulip: Sejumlah 1.2 juta pokok ditanam di Indira Gandhi Tulip Garden yang dibuka sekali setahun

SEBUT saja tulip, pasti ramai mengaitkannya dengan Belanda yang sememangnya sudah sinonim dengan bunga itu. Namun hakikatnya, tulip berasal dari benua Asia dan Iran adalah negara asal tempat bunga unik dan pelbagai warna itu mula ditemui.Tidak diketahui pula sama ada Iran mempunyai ladang tulip yang besar seperti di Belanda, namun cuaca sejuk di pergunungan negara itu pastinya amat sesuai untuk penanaman bunga berkenaan. Selain Iran, beberapa negara lain yang bercuaca sejuk serta mempunyai banjaran gunung luas seperti Afghanistan, Pakistan, India dan China turut menanam pokok bunga popular ini. Kini, ladang tulip terbesar di Asia terletak di Nanhui, timur China dengan keluasan 28 hektar, manakala ladang kedua terbesar terletak di Kashmir, India, seluas lima hektar dikenali sebagai Siraj Bagh atau nama barunya Indira Gandhi Tulip Garden yang dibuka bagi musim bunga kali ini pada 25 Mac lalu.

Berbeza dengan taman bunga lain, Indira Gandhi Tulip Garden yang dirasmikan pada 2008, sebaliknya hanya dibuka dalam tempoh dua hingga tiga bulan setahun, khususnya pada akhir Mac atau awal April.Walaupun bukan menjadi taman tulip terbesar, Taman Tulip Indira Gandhi menjadi tarikan tersendiri sebagai destinasi wajib dikunjungi pelancong yang bertandang ke Kashmir. Malah, sejak pembukaannya, taman bunga itu terus dikunjungi ribuan pelancong yang bercuti sempena kedatangan musim bunga ke Kashmir yang turut dikenali antara bandar peranginan terkemuka di India.
“Taman ini menjadi tarikan utama pelancong dan kawasan yang paling sesuai dikunjungi pelancong luar dan penduduk tempatan. Merah, kuning, merah jambu, putih, jingga, biru cair dan magenta adalah warna utama tulip yang sedang mekar ketika ini boleh dilihat di sini,” kata Penolong Pegawai flora Srinagar, Sheikh Farhan, yang dipetik media tempatan.

Katanya, beberapa bunga musim panas seperti phlox, candytuft, antirrhinum, dan pansies juga turut dipamerkan di taman berkenaan tahun ini. Sejumlah 1.2 juta tulip daripada 60 jenis, ditanam di taman ini, manakala 250,000 bunga jenis lain. Bungaan lain ditanam bagi menampung tulip sedia ada kerana tulip hanya mampu berkembang untuk 15 hingga 20 hari bergantung kepada suhu di kawasan ini. Jika suhu kekal sejuk, tulip mampu berkembang lebih lama. Selain di Taman Tulip Indira Gandhi Tulip Garden, Jabatan Flora wilayah itu turut memelihara dan memulihara taman bersejarah Mughal seperti Nishat, Shalimar dan Chashma Shahi. Jabatan itu mengimport 900,000 tulip dari Belanda tahun ini untuk menghiasi taman berkenaan. Taman tulip di Srinagar itu terletak di kaki bukit gunung Zabarwan yang merentasi tebing Tasik Dal.

Setakat ini, tulip melitupi lebih 12 ekar kawasan berkenaan dan ia dijangka bertambah dari setahun ke setahun yang pasti memberi pulangan kepada taman berkenaan. Tahun lalu saja, jabatan berkenaan meraih pendapatan sebanyak Rs250,000 (RM19,000) hasil penanaman tulip. Bagi menampung perbelanjaan taman berkenaan, jabatan itu mengenakan bayaran masuk kepada mereka yang mahu melawatnya dengan kadar bayaran masuk Rs50 (RM3.60) untuk dewasa dan Rs.25 (RM1.80) bagi kanak-kanak.  Apa yang menarik, pengunjung berpeluang berada di taman itu dari terbit hingga terbenam matahari yang menjanjikan panaroma yang indah. Idea mewujudkan taman itu dicetuskan Menteri Kesihatan Persekutuan yang juga Ketua Menteri Kashmir, Ghulam Nabi Azad, pada 2007.

Taman itu dirasmikan pembukaannya pada 2008 oleh Presiden Parti Kongres India, Sonia Gandhi yang juga menantu kepada Indra Ghani bekas Perdana Menteri, India. Pada 2007, 30,000 pelancong mengunjungi taman itu manakala tahun lalu jumlahnya meningkat kepada 200,000 pelawat dan tahun ini jumlahnya akan bertambah dengan pelbagai promosi yang dilaksanakan jabatan flora wilayah berkenaan.

INFO: Bunga tulip
  • Secara umum bunga ini dikenali sebagai tulip tetapi nama asalnya ialah tulipa. Tulip berasal dari kumpulan keluarga bunga Liliaceae.
  • Sehingga hari ini, sebanyak 150 spesies bunga ini sudah dikenal pasti pengkaji botani. Tulip boleh ditemui di selatan Eropah; utara Afrika dan beberapa negara Asia.
  • Kepelbagaian spesies tulip boleh ditemui di pergunungan Pamir dan Hindu Kush serta kawasan steppe di Kazakhstan.
  • Tulip dari spesies Tulipa gesneriana menjadi kumpulan variasi tulip paling banyak ditanam dan dikomersialkan.
  • Walaupun tulip sinonim dengan Belanda, bunga dan nama bunga ini berasal dari Empayar Parsi.
  • Tulip dikenali sebagai Lale di Turki. Dipercayai, orang Turk mempopularkan tulip di benua Eropah.
  • Taman bunga tulip terbesar di dunia adalah di Keukenhof Tulip Park, Belanda dengan keluasan 32 hektar.
  • Setiap tahun, dari Mac hingga Mei iaitu ketika musim bunga, Keukenhof Park mempamerkan lebih 7 juta tulip.
  • Taman Tulip di Belanda dikunjungi 700,000 pelancong manakala Chinese Tulip Park menerima 600,000 pelancong.

No comments:

Post a Comment