Berkarya melalui telefon bimbit

. . No comments:
FOTOGRAFI sememangnya satu dunia yang menghiburkan, unik dan kreatif. Kebanyakan daripada kita mungkin menganggap untuk menghasilkan gambar, perlu ada kamera yang bagus tetapi hakikatnya dengan kamera telefon bimbit juga anda boleh berkarya, biarpun tidak sehebat jika anda merakamkannya dengan menggunakan kamera sebenar.

Kekurangan menggunakan kamera telefon bimbit adalah anda hanya boleh merakamkan foto mengikut kemampuan saiz sensor imejnya. Anda tidak boleh mencetak foto anda dengan saiz terlalu besar kerana kemampatan (compress) saiz imej pada kamera telefon bimbit dengan kamera biasa adalah berbeza.

Namun begitu, bak kata pepatah, daripada tak ada biarlah ada. Maksudnya dalam keadaan anda tidak membawa kamera sebenar, tentulah lebihbaik jika anda masih boleh merakamkan sesuatu peristiwa sebagai kenangan terindah.

Apa yang perlu anda buat adalah memahami terlebih dahulu kelebihan dan kekurangan yang ada pada kamera telefon bimbit anda. Jika ia mempunyai saiz sensor 5 Megapixel sudah memadai. Jika saiznya lebih besar lagi, tentulah lebih baik kerana ia dapat membantu penghasilan gambar yang baik.

Anda juga perlu mencari kamera telefon bimbit yang mempunyai lensa bukaan besar seperti 2.8 agar rakaman boleh dijalankan dalam semua keadaan cerah mahupun redup. Anda juga boleh memperbaiki hasilnya dengan aplikasi kamera seperti kawalan kecerahan, ketajaman, kontras, saiz fail, close-up dan banyak lagi yang boleh digunakan untuk mencantikkan gambar yang dirakamkan.

Fungsi-fungsi dalam aplikasi tersebut kadangkala hampir serupa dengan apa yang ada pada kamera sebenar. Terdapat juga sesetengah kamera telefon bimbit yang mempunyai kawalan penggambaran panorama dan high dynamic range (HDR).

Jika anda bijak mengawal segala fungsi dalam aplikasi kamera, anda boleh berkarya dengan kamera telefon bimbit. Anda boleh menghasilkan gambar siluet (silhouette), potret, pemandangan indah, sukan dan sebagainya mengikut kehendak sendiri.

Tambahan pula kamera ini juga dilengkapi dengan rakaman video yang boleh anda edit menjadi sebuah cerita menarik dengan menggunakan aplikasi edit movie yang terbina di dalam sesebuah telefon bimbit.Apa yang penting, anda perlu ada asas fotografi untuk lebih cepat memahami kemampuan kamera tersebut.

Anda pastinya dapat merakamkan semua kenangan melalui kamera telefon bimbit apabila anda terlupa membawa kamera sebenar - dan yang menariknya, anda boleh terus menghantar foto rakaman anda kepada rakan taulan melalui telefon pintar anda atau memuat naik ke dalam laman sosial untuk dikongsikan!.

No comments:

Post a Comment