Astronomi temui gugusan galaksi

. . No comments:
Pakar astronomi dilapor menemui gugusan galaksi paling besar yang dipercayai telah wujud sejak alam semesta ini dicipta. Penemuan yang disiarkan dalam jurnal astronomi dan astrofizik, Astrophysical Journal itu berjaya mengesan kira-kira 800 trilion bintang di dalam beratus-ratus galaksi, yang masih berkembang hingga ke hari ini.

Gugusan galaksi baru yang dikenali sebagai SPT-CL J0546-5345 itu, terletak kira-kira 7 bilion tahun cahaya dari Bumi. Pakar astronomi menjangkakan, ia mungkin wujud kira-kira 7 bilion tahun lalu. Penyelidik berkata, gugusan galaksi tersebut telah membesar sebanyak empat kali ganda. "Galaksi ini merupakan gugusan yang paling besar ditemui pada jarak 7 bilion tahun cahaya," kata pakar astronomi Mark Brodwin dari Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian di Cambridge, dalam satu kenyataan.

Menurut penyelidik, penemuan tersebut dapat membantu saintis mengumpulkan sejarah awal alam semesta, termasuk peranan 'tenaga hitam' dalam sistem angkasa lepas. Penyelidik menganggarkan, gugusan galaksi besar tersebut kemungkinan wujud tidak lama selepas letupan besar alam semesta, kerana ia kini berusia 7 bilion tahun berbanding 4.5 bilion tahun usia Bumi. "Gugusan galaksi ini penuh dengan galaksi-galaksi lama yang memberi bayangan ia mungkin wujud sama lama dengan sejarah alam semesta iaitu kira-kira 2 bilion tahun pertama kewujudan alam semesta," kata Brodwin.

No comments:

Post a Comment